7 Kajian Bijak Pandai Yang Membuktikan Bermain Mobile Legends Ini Baik Untuk Kesihatan

Dalam era masakini, ramai yang sudah mula sedar bahawa video game bukan sekadar hobi semata-mata, sebaliknya ia mampu memberikan pulangan wang yang lumayan, jika masa dan skil itu disalurkan ke arah yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun, “kebaikan” bermain video game bukanlah semata-mata dapat menjadikan seseorang itu kaya. Tetapi, banyak bukti yang menunjukkan bahawa video game sebenarnya banyak memberikan kebaikan kepada kehidupan seharian anda.

Jom kita baca tentang 7 kajian perubatan ini, yang membuktikan video game mampu memperbaiki kehidupan seharian kita.

1. Video Game Mampu Melegakan Kesakitan

Pada 2010, para pengkaji telah membawakan bukti di perjumpaan saintifik tahunan American Pain Society bahawa video game, terutamanya game virtual reality (VR), telah dibuktikan mampu mengurangkan kerisauan atau kesakitan yang berpunca daripada prosedur perubatan atau penyakit kronik.

Kajian tersebut menemukan apabila pesakit menjalani kemoterapi atau rawatan serius lain dan dimasukkan ke dalam dunia gaming maya, mereka dilaporkan mengalami kurang stres dan ketakutan.

Merujuk kepada teknologi sensor pergerakan seperti Xbox Kinect atau Wii, Charles Friedman dari Pain Relief Centers telah menyatakan bahawa gaming membenarkan otak untuk terus sibuk menggunakan deria-deria lain, dan tidak menghiraukan tentang kesakitan yang dialami mereka.

2. Membantu Pesakit Strok Dalam Proses Pemulihan

Strok, satu penyakit yang mana proses pemulihannya sangat lama atau mungkin mustahil untuk sembuh. Untuk mencari pendekatan yang lebih murah dan efektif dalam membantu proses percakapan dan pergerakan selepas terkena strok, pakar terapi Dr. Debbie Rand telah beralih ke video game.

Beliau telah membahagikan pesakit-pesakit strok kepada beberapa kumpulan bagi menjalankan satu kajian. Individu pertama telah menjalani rawatan pemulihan tradisional, manakala individu lain pula bermain Xbox 360, PlayStation 3 dan Nintendo Wii.

Menurut Dr. Rand, kebaikan menggunakan video game dalam proses pemulihan strok adalah sangat jelas dalam beberapa aspek. Kedua-dua kumpulan menunjukkan peningkatan dalam genggaman, walau bagaimanapun, hanya mereka yang bermain video game terus menampakkan penambahbaikan dalam kekuatan tangan selepas rawatan pemulihan strok mereka.

Video game bukan sahaja menggandakan bilangan pergerakan lengan semasa setiap sesi, malah pergerakan mereka mempunyai “objektif tertentu” dan bukanlah hanya latihan yang berulang-ulang (repetitive exercises)

“Apabila individu merancang pergerakan mereka dan bergerak mengikut kehendak dalam mencapai sesuatu matlamat, ia akan memberikan kesan yang positif kepada keplastikan otak,” kata Dr. Rand sambil menyatakan bahawa video game adalah menyeronokkan, subjek akan lebih fokus sepenuhnya kepada aktiviti pemulihan.

3. Membantu Kanak-Kanak Disleksia Membaca Dengan Lebih Baik




Satu kajian telah dijalankan oleh University of Padua untuk membuktikan bahawa video game tidaklah memburukkan minda kanak-kanak. Malah, sekumpulan pengkaji dari Itali itu telah membawakan bukti bahawa bermain video game yang memiliki tempo yang laju mampu meningkatkan keupayaan membaca kanak-kanak yang memiliki dyslexia – kesukaran mengenal dan membaca perkataan bertulis.

Pasukan pengkaji itu telah membahagikan kanak-kanak berumur 7 hingga 13 tahun kepada dua kumpulan – di mana satu kumpulan bermain game Rayman Raving Rabids, manakala kumpulan kedua bermain game yang bertempo sedikit perlahan.

Kemudian, keupayaan membaca kanak-kanak ini telah diuji, dan ternyata kumpulan yang menghidap dyslexia dan bermain game aksi itu mampu membaca dengan lebih pantas dan tepat berbanding satu lagi kumpulan lain. Kajian tersebut telah memberikan hipotesis bahawa game-game aksi membantu kanak-kanak meningkatkan tempoh perhatian, satu keupayaan yang sangat penting apabila membaca.

4. Video Game – Sesi Kaunseling Yang Sangat Berkesan

Anda berpendapat video game adalah punca kepada masalah penyakit mental? Anda semestinya silap.

Pada 2012, para pengkaji dari New Zealand telah membangunkan sebuah video game untuk mengubati para remaja yang tertekan. Video game tersebut telah diberikan nama “SPARX”, yang merupakan akronim kepada “smart, positive, active, realistic and x-factor thoughts” – iaitu strategi yang biasanya digunakan untuk melawan tekanan.

Kajian itu telah disertai oleh 168 remaja berumur sekitar 15 tahun yang sebelum ini pernah mendapatkan bantuan atau mengalami tekanan. Separuh daripada mereka telah dipilih secara rawak untuk menjalani rawatan “seperti biasa”, yang mana selalunya adalah kaunseling bersemuka dalam tempoh 5 sesi.

Separuh daripada mereka yang lain pula bermain SPARX, sebuah video game fantasi yang memerlukan mereka mencipta avatar bagi memusnahkan “pemikiran automatik negatif yang suram”, seterusnya mengembalikan kuasa dalam dunia maya. Setiap tahap mengajar pemain ini fakta asas tentang tekanan, strategi untuk mengatasinya dengan emosi negatif yang tegang dan teknik bertenang.

Keputusan bagi kumpulan yang bermain SPARX adalah sangat menggalakkan. Kira-kira 44 peratus daripada pemain SPARX pulih sepenuhnya daripada tekanan, manakala hanya 26 peratus daripada mereka yang menjalankan “kaunseling biasa” pulih daripada tekanan.

5. Gamers Lebih Baik Dalam Pembedahan Maya Berbanding Pelajar Perubatan

Pada November 2012, para saintis di University of Texas Medical Branch telah mengadakan satu kajian, di mana gamers yang berada di sekolah menengah, kolej dan pelajar perubatan telah bersaing antara satu sama lain bagi melihat siapakah antara mereka yang lebih baik dalam melakukan pembedahan maya (virtual surgery).

Para pemain menamatkan beberapa siri tugasan dalam peranti yang menyediakan replika kepada pembedahan sebenar dan mengukur kemahiran dalam 32 kategori berbeza, seperti koordinasi tangan-mata, tekanan kepada kawalan dan tempoh masa.

Gamers yang berada di sekolah menengah, yang mana bermain video game 2 jam sehari, telah secara dramatiknya mengatasi kedua-dua gamers di kolej (bermain video game 4 jam sehari) dan pelajar perubatan (jarang sekali bermain video game).

Walau bagaimanapun, Dr. Sami Kilic, profesor di University of Texas yang membantu untuk membentuk kajian ini, tetap mengakui dan menyatakan bahawa para pelajar yang berminat dalam karier perubatan harus tetap fokus dalam akademik, bukan pembedahan maya.

Namun, sebuah lagi kajian yang berbeza pula mendapati, doktor pakar bedah yang bermain video game 3 jam seminggu memperlihatkan 37 peratus kurang melakukan kesilapan semasa pembedahan laparoskopik. Senang kata, video game membantu membentuk seorang doktor pakar bedah yang lebih baik.

6. Game Shooter Mampu Memperbaiki Penglihatan

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh University of Rochester, menembak musuh dalam video game mampu memberikan anda penglihatan yang lebih baik tanpa disangka.

Dalam kajian pada tahun 2009 itu, gamers handalan bermain game first-person shooter seperti Unreal Tournament 2004 dan Call of Duty, manakala gamers yang kurang handal bermain The Sims 2. Mereka yang bermain game shooter ini menampakkan penambahbaikan yang ketara dalam fungsi sensitiviti kontras (contrast sensitivity function), iaitu keupayaan untuk melihat perubahan kecil dalam kecerahan sesebuah gambar. Keupayaan ini adalah sangat penting dalam kehidupan seharian, seperti memandu pada waktu malam.

Mereka yang menjalankan kajian tersebut percaya bahawa proses menentukan (locating) dan menyasarkan (aiming) kepada musuh melatih mata para gamers. Dan dengan pihak lawan sentiasa muncul dalam situasi yang tidak disangka-sangka, game shooter juga membantu para pemain belajar untuk menganalisis data optikal dengan pantas.

Para pengkaji tersebut percaya bahawa kajian mereka menunjukkan potensi video game, khususnya game bergenre aksi, untuk bertindak sebagai bantuan dalam memulihkan penglihatan yang kurang baik.

7. Video Game Mungkin Mampu Melambatkan Proses Penuaan

Bermain game yang mengusik minda (brain-teasing) untuk hanya 2 jam seminggu mungkin mampu melambatkan darjah reputan mental yang berkait dengan proses penuaan semula jadi, menurut satu kajian yang dilakukan pada tahun 2013 oleh University of Iowa.

Para pengkaji di universiti itu telah menjalankan sebuah kajian yang melibatkan 681 individu yang sihat, berumur 50 tahun ke atas. Mereka menemui bahawa individu yang bermain 10 jam video game yang direka khas untuk memfokuskan kepada penambahbaikan kelajuan dan kualiti keupayaan pemprosesan mental mampu melambatkan penurunan semula jadi kemahiran kognitif – dalam sesetengah kes, menambah kepada tujuh tahun.

Dalam lima hingga lapan minggu, satu kumpulan warga senior ini telah diberikan teka-teki silang kata berkomputer, sementara tiga lagi kumpulan diberikan sebuah video game bernama Road Tour. Game tersebut memadankan pelbagai gambar kenderaan dan dalam masa sama mengingati lokasi tanda-tanda jalan dengan lebih banyak “pengacau” yang muncul apabila para pemain semakin jauh berjalan.

Pengalaman tersebut adalah bertujuan untuk mencerminkan kesusahan yang dialami oleh pemandu berumur apabila mereka perlu memproses maklumat daripada pelbagai pandangan di titik persilangan.

“Sama ada ia adalah game yang direka khas atau sesuatu seperti World of Warcraft, video game adalah kompleks dari segi kognitif dan memerlukan tenaga dan keupayaan mental untuk bermain,” kata Jason Allaire, profesor dalam jabatan psikologi di North Carolina State University, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut. “Bila-bila masa sahaja anda melakukan sesuatu yang memerlukan tenaga, anda sedang melatih keupayaan anda – ia sama seperti melatih otot-otot anda, kamu akan menjadi lebih kuat.”

Kesimpulan

Sebagai seorang gamer, pastinya kita sering ditanyakan soalan seperti, “apa yang berfaedahnya main video game ini?”. Jawapan klise yang sering kita berikan antaranya adalah ia meningkatkan daya refleks, mengisi masa lapang yang membosankan, bertemu dengan rakan-rakan dan lain-lain.




Mungkin dengan jawapan yang sudah “basi” mereka dengarkan ini membuatkan masyarakat di luar sana masih menganggap video game adalah satu hobi yang sia-sia. Oleh itu, dengan adanya artikel ini, jom kita ajak baca, tunjukkan kepada semua di luar sana bahawa para doktor dan bijak pandai telah membuktikan video game berupaya mendatangkan bermacam faedah – terutamanya dari aspek kesihatan dalam kehidupan seharian.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *